KUALA LUMPUR: Sumbangan dan kepakaran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), Datuk Seri Ir Zaini Ujang dalam industri perkhidmatan air negara mendapat pengiktirafan apabila beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang diadakan pada malam Selasa.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof bersempena Majlis Makan Malam dan penyampaian Anugerah Industri Perkhidmatan Air 2023 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia (MWA).

Zaini yang juga merupakan pakar dalam bidang rawatan air dan sisa, merupakan figura penting dalam usaha pemulihan sungai dan konservasi air negara.

Melalui persatuan Sahabat Sungai Malaysia, beliau yang juga Presidennya turut menzahirkan usaha dan inisiatif dalam memugar kesedaran dan penghargaan kepada sumber air melalui pelbagai kempen dan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Penganjuran majlis tersebut adalah serentak dengan program dwi-tahunan iaitu AsiaWater yang telah masuk kali ke-13 penganjurannya di Malaysia melibatkan 700 wakil pemain industri dari dalam dan luar negara.

Selain anugerah Tokoh SPAN, majlis berkenaan juga menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kepada para pemain industri yang menunjukkan prestasi teladan sepanjang hampir 17 tahun SPAN menjalankan fungsi sebagai badan kawal selia bagi perkhidmatan air untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Proses pencalonan, saringan dan penjurian telah dimulakan sejak akhir tahun lalu dan keputusan dibuat
adalah berdasarkan data daripada laporan prestasi serta penilaian ketat oleh juri-juri daripada pelbagai agensi seperti wakil PETRA, SPAN, pemain industri, badan pentauliahan, konsultan serta wakil agensi
berkaitan perkhidmatan air.

MWA pada waktu sama meneruskan tradisi penganjuran majlis makan malam dan penyampaian beberapa anugerah kepada mereka yang menyerlah di dalam industri yang dianjurkan secara berkala sejak 1994.

Tujuan utama penyampaian anugerah adalah bagi menyatakan penghargaan terhadap komitmen
berterusan para pemain industri dalam mentransformasikan perkhidmatan air melalui pemindahan teknologi, penerokaan inovasi dan daya usaha berterusan dalam merealisasikan Malaysia selaku hub industri air yang berdaya maju.

Turut sama hadir meraikan pemenang dan pemain industri adalah Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN serta Presiden MWA.